
PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia sedang menyiasat kemungkinan wujud dalang di sebalik kegiatan jenayah seksual membabitkan kumpulan dikenali sebagai Geng Budak Sekolah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) secara teliti kerana ia melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
“Polis sedang memperhalusi semua maklumat untuk menentukan sama ada terdapat pihak yang mengawal atau mendalangi kegiatan itu. Buat masa ini, kita belum dapat sahkan wujudnya dalang.
“Kes ini rumit kerana melibatkan kanak-kanak yang sanggup meninggalkan sekolah selepas melihat aktiviti itu sebagai sumber pendapatan,” katanya.
Saifuddin memaklumkan bahawa siasatan berhubung kes itu perlu ditangani dengan cermat memandangkan ia membabitkan pemikiran serta keputusan seorang kanak-kanak.
Beliau turut mengaitkan kes berkenaan dengan modus operandi sama seperti kes swinger yang pernah dibongkar polis sebelum ini.