Abai anak angkat, suami isteri berdepan denda RM50,000, penjara 20 tahun

Foto Sinar Harian

MELAKA: Mengabaikan anak angkat lelaki tujuh tahun hingga kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi boleh menyebabkan pasangan suami isteri didenda RM50,000 atau penjara 20 tahun.

Pasangan itu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dalam kejadian pada Ogos dan Oktober lalu.

Badrul Amin Yazid, 27, dan isteri, Nur Amiesya Saim, 24, menghadapi pertuduhan berasingan, masing-masing di hadapan Hakim Noor Adilla Raja Mahyaldin dan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Lelaki berkenaan didakwa mengabaikan anak angkat berkenaan dengan cara yang mungkin boleh menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah rumah di MJ 21, Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, kira-kira jam 8.30 malam pada 20 Ogos.

Nur Amiesya pula dituduh melakukan kesalahan sama terhadap mangsa di sebuah rumah di Jalan M6, Taman Merdeka, Batu Berendam, pada kira-kira jam 8 malam 29 Oktober.

Mereka yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jika sabit kesalahan, pasangan itu boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.