
KUALA LUMPUR: Anak muda adalah golongan paling ramai daripada kira-kira sembilan juta penunggang motosikal yang tidak memiliki atau memperbaharui lesen memandu sah selepas tamat tempoh.
Koordinator Majlis Pengurangan Kecurian dan Kemalangan Kenderaan Malaysia (VTAREC), Mas Tina Abdul Hamid, berkata keadaan itu boleh mengakibatkan mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Mereka tidak mempunyai latihan formal berhubung teknik tunggangan, pematuhan undang-undang jalan raya dan aspek keselamatan.
“Berdasarkan statistik pihak berkuasa, jumlah saman terhadap penunggang motosikal bagi tempoh Januari hingga November 2024 mencecah 850,000 saman.
“Kesalahan paling tinggi dikesan adalah tiada lesen memandu yang sah apabila mencecah 300,000 kes atau sekitar 898 saman sehari bagi tempoh sama.
“Majoritinya pesalah terbabit berusia 16 hingga 30 tahun, tetapi ada juga kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun yang dikesan menunggang motosikal tanpa lesen memandu sah,” katanya.
Mas Tina berkata, daripada jumlah keseluruhan penunggang motosikal tanpa lesen memandu, dianggarkan lebih 90 peratus adalah lelaki, manakala selebihnya kalangan wanita.
Katanya, berdasarkan kajian VTAREC, beberapa faktor dikenal pasti sebagai punca antaranya masalah ekonomi, pengaruh rakan, budaya dan isu ibu bapa yang kurang cakna berkaitan aspek keselamatan jalan raya.