
KUALA LUMPUR: Seramai 78,674 belia terbabit dalam jenayah penyalahgunaan dadah, antara Januari hingga Jun lalu, mengikut pendedahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) .
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata 66,078 atau 84 peratus belia terbabit dikenal pasti menyalahgunakan dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS).
Beliau juga mendedahkan trend penyalahgunaan dadah di kalangan belia turut merekodkan peningkatan ketara antara 2022 hingga tahun lalu.
Angka itu, katanya, melonjak kepada 116,245 belia pada 2024, berbanding 90,520 orang (2023) dan 85,657 belia (2022).
“Angka ini dikenal pasti melalui kajian menyeluruh bagi mengenal pasti punca utama mendorong belia salah guna dadah yang dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan.
“Kajian bertajuk ‘Kajian Tingkah Laku Keterlibatan Belia dalam Penyalahgunaan Dadah/Bahan (Substance) di Kawasan Berisiko Tinggi Terpilih’ ini memberi tumpuan kepada belia berusia 15 hingga 30 tahun, dari September 2024 hingga Februari lalu,” katanya.