72,850 penjawat awam Selangor dapat insentif khas Aidilfitri

Foto NSTP

SHAH ALAM: Selangor akan memberi insentif khas Aidilfitri kepada penjawat awam negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Insentif Khas Kita Selangor Aidilfitri (IKSA) ituadalah sebanyak sebulan gaji atau minimum RM1,000 sempena Hari Raya tahun ini.

Ketika mengumumkan pemberian itu, Amirudin berkata insentif khas terbabit akan dibayar pada 19 Mac depan.

“Atas khidmat cemerlang yang dizahirkan dan sebagai dorongan untuk terus meningkatkan usaha sepanjang tahun ini, kerajaan negeri bersetuju memberi IKSA sempena Aidilfitri sebanyak satu bulan gaji atau minimum RM1,000 untuk semua penjawat awam Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Akrab Mahabbah Insani Ramadhan Bersama Penjawat Awam Selangor, di sini.

Amirudin turut mengumumkan pemberian IKSA sebanyak satu bulan elaun atau minimum RM500 kepada lima golongan.

Mereka ialah pemimpin masyarakat seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Pegawai Perhubungan Kampung Baru/Bagan, Ketua Komuniti India, Penyelia Wanita Berdaya (PWB) serta Penggerak Belia Selangor (PeBS).

Amirudin berkata, petugas masjid dan guru-guru rakyat di Selangor pula akan diberikan insentif RM500.