716 Sekolah Sertai Program Sekolah Parlimen: Johari Abdul

Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Hampir 716 sekolah sudah menyertai Program Sekolah Parlimen setakat ini dalam usaha melahirkan generasi muda yang celik demokrasi dan berwibawa sebagai pemimpin masa hadapan negara.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata program membabitkan ketua pelajar itu dijalankan setiap Selasa dan Khamis, yang mana mereka akan hadir ke Parlimen untuk menyaksikan sendiri proses perjalanan sistem demokrasi negara.

Beliau yang menerajui inisiatif itu, berkata pemilihan Selasa dan Khamis adalah bertepatan kerana pada Selasa, Perdana Menteri akan menjawab soalan dalam Prime Minister’s Question Time (PMQT), manakala Khamis pula giliran menteri.

“Jadi, kita sudah ada 716 sekolah yang kita sudah bawa dan mereka ini kita dedahkan apa yang berlaku di Parlimen. Yang kedua, selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), (pelajar-pelajar) turut berpeluang menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selama 45 hari.

“Jadi, di PLKN sekali lagi, selama 45 hari anak-anak muda ini yang berumur antara 18 hingga 35 tahun akan didedahkan dengan ilmu kepimpinan, 45 hari ini juga mereka akan berkenalan antara satu sama lain.

“Dalam tempoh 45 hari, mereka dilatih untuk menjadi pemimpin, termasuk dilatih untuk menjadi wira negara dengan latihan senjata dan sebagainya. Selepas 45 hari, mereka juga mempunyai peluang untuk berada dalam Parlimen Belia dan sekali lagi akan dilatih untuk bercakap serta untuk membawa isu,” katanya.