7,000 Anak Malaysia Lahir Luar Negara Bakal Nikmati Pindaan Kewarganegaraan

Foto : Bernama | Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan dan sambutan Hari Inovasi KDN di sini hari ini.

PUTRAJAYA — Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyelesaikan segala urusan dokumentasi dan persediaan berkaitan pindaan Perlembagaan membabitkan kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia, dan kini hanya menunggu penetapan tarikh kuat kuasa. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pindaan berkenaan telah diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta kini menunggu tarikh yang akan diperkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Di peringkat kita di KDN, semua dokumen berkaitan termasuk Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964, borang yang berkaitan seperti borang secara dalam talian, pemakluman kepada perwakilan negara di seluruh dunia telah pun kita laksanakan. Kita cuma tunggu tarikh sahaja untuk ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kalau hari ini ditetapkan, terus kita boleh buat serta-merta,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan dan sambutan Hari Inovasi KDN di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata pindaan tersebut membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing memperoleh kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang automatik, berbanding melalui permohonan pendaftaran sebelum ini. “Pindaan ini mendapat sokongan sebahagian besar Ahli Parlimen iaitu seramai 216 orang yang bersetuju,” katanya.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata pelaksanaan pindaan itu dijangka memberi kelegaan kepada ibu warganegara Malaysia yang selama ini menunggu proses kewarganegaraan anak mereka yang dilahirkan di luar negara. Menurutnya, daripada kira-kira 50,000 permohonan kewarganegaraan tertunggak yang perlu diproses, sekitar 7,000 membabitkan anak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia.

Sumber : Bernama