
PUTRAJAYA: Tujuh pemuda yang menyelamatkan seorang ibu dan dua anak kecil dalam nahas di Kundang baru-baru ini, mendapat penghargaan khas daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri meluangkan masa hampir 15 minit mendengar pengalaman mereka yang bertindak cepat dan berani menyelamatkan mangsa dalam kejadian itu.
Anwar menzahirkan rasa bangga dan memuji keberanian serta keprihatinan yang ditunjukkan tujuh pemuda itu.
Tindakan spontan tujuh pemuda berkenaan juga disifatkan sebagai contoh nilai kemanusiaan tinggi dan semangat tanggungjawab sosial yang wajar dicontohi masyarakat.
Mereka adalah, Mohd Shahrizal Jarami, 40; Mohamad Fahmi Ismail, 33; Adam Syah Reza Hendri, 19; Mohamad Zulfadhli Mohd Nasir, 23; Muhammad Aiman Hakimi Mohd Rosnizam, 23; Muhammad Nor Haiqal Abd Karim, 23, dan Hariz Ismat Ruzaiizan, 26.
Dalam pertemuan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada ketujuh-tujuh pemuda terbabit.