6 Remaja, tiga bawah umur ditahan kerana aktiviti keganasan IS

Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Tiga remaja bawah umur adalah antara enam lelaki yang ditahan dalam operasi khas Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di beberapa lokasi di negara ini pada 14 dan 15 Februari lalu.

Mereka ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti berorientasikan keganasan kumpulan ‘Islamic State’ (IS).

Mereka yang berusia antara 16 hingga 21 tahun itu, ditahan dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, Kedah, Johor dan Terengganu selepas didapati terbabit fahaman ekstremis secara dalam talian.

Selain melafazkan ikrar atau berbai’ah dengan pemimpin IS, siasatan polis turut mendapati suspek merancang serangan ke atas balai polis, instalasi penting kerajaan dan fasiliti kepentingan awam.

Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata aktiviti mereka merangkumi penyebaran ideologi radikal, perekrutan, promosi bahan propaganda dan perancangan serangan membabitkan golongan belia, remaja dan kanak-kanak.