5,578 Titik Akses WiFi Dipasang di 63 Politeknik dan Kolej Komuniti

Foto Berita Harian / NSTP

JOHOR BAHRU: Sebanyak 5,578 titik akses Wi-Fi baharu dipasang di 20 buah politeknik dan 43 kolej komuniti di seluruh negara, menerusi fasa kedua Projek Penambahbaikan Rangkaian Kesalinghubungan WiFi.

Pemasangan WiFi fasa kedua membabitkan Zon Selatan ini merangkumi Politeknik Ibrahim Sultan, Kolej Komuniti Bandar Penawar, Kolej Komuniti Batu Pahat, Kolej Komuniti Kluang, Kolej Komuniti Kota Tinggi, Kolej Komuniti Pagoh, Kolej Komuniti Pasir Gudang, Kolej Komuniti Segamat dan Kolej Komuniti Tanjung Piai.

Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), A Azman Arshad berkata, skop kerja bermula pada April lalu dan siap sepenuhnya menjelang awal bulan ini.

“Projek ini adalah hasil kerjasama strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan JPPKK mula dirancang sejak sesi perbincangan awal pada 27 Disember 2024 bersama Pasukan Petugas ICT (PPICT).

“Tujuan utama projek ini adalah untuk memperluas dan menaik taraf infrastruktur WiFi di institusi pendidikan tinggi teknikal negara, iaitu politeknik dan kolej komuniti,” katanya dalam Majlis Penyerahan Projek Pemasangan dan Penaiktarafan Rangkaian WiFi di bawah MCMC kepada JPPKK di Politeknik Ibrahim Sultan di sini bar-baru lalu.

Menurut A Azman, pemasangan titik akses WiFi baharu dengan tema ‘WiFi Cepat, Prestasi Hebat’ di Politeknik Ibrahim Sultan, dilaksanakan di setiap 170 buah bilik pelajar di kolej kediaman, bilik rekreasi, surau dan kafeteria.

Katanya, kemudahan ini dijangka akan memberikan impak besar kepada pengalaman
pembelajaran dan kesejahteraan lebih 3,000 pelajar di sini.