
KUALA LUMPUR: Rekod pendaftaran di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang diterima Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sepanjang tempoh tujuh tahun mendapati 55,458 perkahwinan membabitkan rakyat Malaysia bukan Islam dengan pasangan warganegara asing.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata China dan Vietnam antara lima negara yang mencatatkan jumlah tertinggi bagi pasangan bukan warganegara, dengan tiga lagi membabitkan Singapura, Thailand dan Indonesia.
“Warga China merekodkan 9,195 perkahwinan dengan rakyat Malaysia yang meliputi 3,030 lelaki dan 6,165 perempuan, diikuti Vietnam dengan 8,620 perkahwinan (semua perempuan), Singapura dengan 8,802 perkahwinan (5,910 lelaki dan 2,892 perempuan), Thailand dengan 5,186 perkahwinan (semua perempuan) dan Indonesia dengan 4,263 perkahwinan (semua perempuan).
“Secara keseluruhan, kelima-lima negara ini menyumbang 36,066 daripada 55,458 perkahwinan pasangan bukan Muslim antara rakyat Malaysia dan bukan warganegara,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan lisan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai statistik lima negara teratas bagi pengantin warga asing kepada rakyat Malaysia bukan Muslim dari 2019 hingga Julai 2025.