50 peratus jemaah haji 2025 tolak tawaran

Foto Fail / Malaysia Gazette

KUALA LUMPUR: Disebabkan kekangan kewangan, 50 peratus daripada keseluruhan jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan ibadat itu pada tahun ini menolak tawaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar, berkata rekod Tabung Haji juga mendapati 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit Tabung Haji mempunyai simpanan kurang RM1,300.

“Pada masa ini juga, 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM1,300 dan ini tidak mencukupi untuk menunaikan haji.

“Manakala 50 peratus jemaah haji bagi tahun 2025 yang terpilih menolak tawaran tunai haji atas faktor masalah kewangan,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berhubung kos keseluruhan projek penjenamaan semula TH serta jumlah akhir peruntukan kewangan projek itu.