5 Remaja Kes Buli Zara Qairina Dilindungi Akta Kanak-Kanak 2001

Foto Fail / Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR: Lima remaja yang bakal didakwa dengan kes arwah Zara Qairina Mahathir, 13, akan dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Jaminan itu diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, yang menegaskan perbuatan buli yang berlaku di sekolah atau secara dalam talian, tidak akan pernah diterima.

“Lima remaja terbabit yang kini berdepan pertuduhan tetap dianggap kanak-kanak di sisi undang-undang dan mesti dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

“Ini termasuk termasuk (dalam soal) kerahsiaan, hak mendapat pembelaan undang-undang serta layanan yang adil,” katanya melalui muat naik di Facebook.

Beliau mengulas kebimbangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai identiti lima remaja yang bakal didakwa berkaitan kes buli pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Sabah itu, didedahkan kepada umum.

Melalui kenyataan media, Suhakam dilapor berkata perbuatan menerbitkan identiti kanak-kanak boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15 Akta 611 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.