
SHAH ALAM: Kira-kira 400 pengunjung tapak perkhemahan di Kerling, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor berdepan detik cemas apabila terperangkap akibat kepala air kira-kira jam 5 pagi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.47 pagi.
Beliau berkata, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kesemua mangsa diarahkan pergi ke tempat tinggi dan selamat.
“Anggota kemudian melakukan pemantauan sehingga limpahan air surut,” katanya ketika dihubungi.
Ahmad Mukhlis berkata, ketika ini hujan semakin reda dan air sudah surut.