40 Peserta Renang Disengat Obor-Obor

Foto APM Manjung

Empat puluh peserta cedera selepas disengat obor-obor ketika menyertai satu acara sukan renang laut terbuka di Pantai Teluk Senangin semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 8.15 pagi itu, peserta terdiri daripada pelbagai peringkat usia sedang menyertai acara berkenaan sebelum serangan obor-obor dikesan berlaku secara serentak di kawasan perairan itu.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Manjung berkata, daripada kesemua mangsa, dua kanak-kanak masing-masing lelaki dan perempuan dikejarkan ke Hospital Seri Manjung untuk menerima rawatan lanjut.

“Mangsa pertama adalah kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dan beralamat di Kajang, Selangor sementara mangsa kedua adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, beralamat di Lekir, Manjung,” kata APM dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, semua yang cedera telah diberi rawatan awal oleh pasukan APM, Kementerian Kesihatan (KKM) dan pasukan perubatan swasta yang ditempatkan di lokasi acara.