4 Pensyarah UUM Antara Saintis Terbaik Dunia

Foto UUM Today Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki, Prof. Madya Ts. Dr. Aidi Ahmi

KUALA LUMPUR: Martabat Universiti Utara Malaysia (UUM) harum di persada antarabangsa apabila empat pensyarah universiti itu tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis terkemuka dunia.

Menurut UUM Today, mereka yang menerima pengiktirafan berprestij itu ialah Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki dari Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Prof. Madya Ts. Dr. Aidi Ahmi dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), Ts. Dr. Siti Khadijah Hubadillah dari Pusat Pengajian Teknologi Pengurusan dan Logistik (STML), serta Ts. Dr. Khairul Hafezad Abdullah dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM).

Prof. Ts. Dr. Norazah menzahirkan rasa syukur apabila tersenarai buat kali ketujuh berturut-turut dalam Senarai dua peratus teratas Saintis Dunia sejak tahun 2019.

“Tahun ini merupakan penampilan saya yang ketujuh berturut-turut dalam Senarai dua peratus Teratas Saintis Dunia sejak 2019, dan ia secara tidak langsung mengukuhkan lagi pengaruh serta kepimpinan berterusan saya dalam bidang pengkhususan ini.

“Di samping usaha dan disiplin diri, saya amat bersyukur kerana dikelilingi oleh ekosistem yang menyokong, daripada pihak universiti, rakan penyelidik, pelajar pascasiswazah, dan keluarga,” katanya.

Prof. Madya Ts. Dr. Aidi Ahmi pula menegaskan bahawa pengiktirafan berprestij ini bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya merupakan hasil usaha kolektif pelbagai pihak yang sentiasa menyokong perjalanan akademiknya.

“Pengiktirafan ini merupakan cerminan daripada hasil usaha berpasukan, sokongan, dan dorongan berterusan yang saya terima daripada rakan penyelidik, pelajar, penulis bersama serta rakan yang sentiasa berganding bahu dalam menerbitkan penyelidikan berkualiti,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu adalah satu amanah untuk terus melahirkan penyelidikan yang relevan, berimpak tinggi, serta memberi manfaat bukan sahaja kepada dunia akademik, malah juga kepada masyarakat secara keseluruhan.