
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Presiden China Xi Jinping, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa adalah antara pemimpin dunia dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang mewakili Malaysia selaku Pengerusi Asean berkata, pengesahan positif sudah diterima daripada Lula dan Ramaphosa, manakala Trump sudah menyatakan kesediaannya untuk hadir menerusi perbualan telefon baru-baru ini.
“Memastikan kehadiran mereka hanyalah langkah pertama. Ujian yang lebih besar ialah memastikan mereka meninggalkan Malaysia dan Asean dengan rasa bahawa masa mereka di sini benar-benar bermakna.
“Kita perlu pastikan kunjungan mereka membuahkan hasil yang bernilai kekal. Seluruh dunia akan memandang ke arah kita. Justeru, kita perlu menjayakannya dengan cemerlang,” kata beliau.
Anwar berkata demikian dalam ucapan perasmian sambutan Hari Asean ke-58 di sini hari ini, yang diadakan bersempena ulang tahun penubuhan Asean bertemakan ‘Ke Arah Masa Depan Asean yang Inklusif dan Mampan’.