
KUALA LUMPUR: Mahakarya pelukis tersohor dunia, Pablo Picasso yang sebelum ini dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah antara empat lukisan berkualiti tinggi dalam perjalanan semula ke Malaysia.
Lukisan itu adalah L’Ecuyère et les clowns (Pablo Picasso) yang bernilai AS$26,250; Etude pour femme couchée (Balthus, 1948) (AS$28,125); Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, rue St Vincent, Montmartre (Maurice Utrillo, 1934) (AS$50,000); dan Composition (Joan Miro, 1953) (AS$93,750).
Lukisan berkenaan sebelum ini dimiliki peguam utama 1MDB, Jasmine Loo, selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mengesahkan ia ada kaitan dengan skandal dana 1MDB, dijangka tiba di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bulan depan.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, berkata semua lukisan bernilai tinggi itu adalah hasil perbincangan rasmi bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) serta USDOJ di Washington DC, Disember lalu.
Beliau mengesahkan, penghantaran itu berlangsung dalam tempoh dua minggu lalu.