4 beranak mangsa bunuh dikebumi satu liang

Foto NSTP

KUANTAN: Jenazah lima sekeluarga yang ditemui maut selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Budaya Cherating di tepi pantai di sini .

Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56, dikebumikan bersama menantunya, Nurul Asshiykin Kamarulzaman, 33, serta dua cucunya iaitu Nur Sumayyah Humairah dan Nur Saffiyah Humairah masing-masing berusia dua dan lima tahun, dalam satu liang.

Suspek yang berusia 32 tahun, dikebumikan berasingan kira-kira beberapa meter dari kubur berkenaan dalam kawasan tanah perkuburan sama.

Lima jenazah tiba di tanah perkuburan kira-kira jam 6.50 petang dengan empat kenderaan jenazah, diiringi sejumlah besar ahli keluarga, rakan serta penduduk kampung, yang kebanyakannya kelihatan amat berdukacita.

Proses menimbus liang lahad bagi empat mangsa wanita itu diselesaikan menggunakan jengkaut kira-kira jam 7.20 malam, kira-kira lima minit selepas jenazah mangsa lelaki dikebumikan.

Terdahulu, jenazah Tuan Kamaria, Nurul Asshiykin dan dua anaknya dimandikan serta dikafankan di Masjid Cherating, manakala jenazah suspek dibawa ke Masjid Sungai Ular.

Solat jenazah bagi kelima-lima mereka diadakan di Masjid Sungai Ular sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dipercayai membunuh ahli keluarganya sebelum bertindak menamatkan riwayat sendiri di rumah setingkat mereka di Taman Cerating Damai kira-kira jam 7 pagi kemarin.

Siasatan mendapati suspek dipercayai menikam isterinya terlebih dahulu, diikuti ibunya dan kemudian dua anak perempuannya sebelum mengakhiri hidupnya sendiri menggunakan sebilah pisau.