39 peratus berpendapatan sederhana menabung kurang RM500 sebulan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Tinjauan Literasi Kewangan Rakyat Malaysia 2025 oleh RinggitPlus menunjukkan bahawa individu berpendapatan sederhana yang memperoleh antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan sedang berdepan tekanan kewangan yang semakin meningkat.

Kira-kira 39 peratus rakyat Malaysia berpendapatan sederhana menyimpan RM500 atau kurang setiap bulan, mendedahkan cabaran berterusan untuk mengekalkan penampan kewangan walaupun mempunyai azam yang baik pada awal tahun.

Suku pertama tahun ini bertepatan dengan musim perayaan utama seperti Tahun Baru Cina serta persediaan menjelang Ramadan, yang lazimnya dikaitkan dengan peningkatan perbelanjaan isi rumah untuk sambutan.

Data menunjukkan perdagangan borong dan runcit meningkat dengan ketara dalam tempoh itu pada 2025, dengan jualan mencecah RM148.3 bilion pada Februari, sebahagian besarnya disokong oleh pembelian menjelang Ramadan dan Aidilfitri.