3 Universiti Tempatan Raih Pengiktirafan Global

Foto Berita Harian

KUALA LUMPUR: Tiga universiti tempatan berjaya meraih pengiktirafan berprestij di Anugerah Global Triple E anjuran Accreditation Council for Entrepreneurial and Engaged Universities (ACEEU) yang berlangsung di Prague, baru-baru ini.

Tiga universiti yang berjaya mengharumkan nama negara itu ialah Universiti Malaysia Kelantan (UMK); Management & Science University (MSU) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Berdasarkan kenyataan media UMK, universiti itu memenangi tempat kedua kategori ‘Female Entrepreneurship Empowerment Award’ menerusi projek ‘Increasing Digital Skill and E-Commerce among ASEAN MSME’ (IDEAS).

Menurutnya, projek itu memberi tumpuan kepada memperkasakan usahawan wanita Asean dalam penguasaan kemahiran digital dan e-dagang, dengan sokongan Asean-ROK serta Asean-Korea Cooperation Fund (AKCF).

“Selain itu, UMK turut disenaraikan dalam kedudukan kedua dunia bagi kategori berprestij ‘Global Innovation and Entrepreneurship University of the Year’.

“Ia sekali gus menegaskan peranan universiti terbabit sebagai peneraju dalam membina budaya keusahawanan serantau,” katanya.

Sementara itu, MSU pula berjaya meraih tempat kedua kategori ‘SDG Impact Award’, sekali gus mengiktiraf usaha universiti itu dalam menjayakan agenda pembangunan mampan (SDG).

Universiti Putra Malaysia (UPM) juga tidak ketinggalan mencatat sejarah apabila wakilnya, Rudy Ludinata, diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga kategori ‘Entrepreneurship Educator of The Year Award’.

Ia adalah sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan akademia negara dalam pendidikan keusahawanan bertaraf global.

Kejayaan itu sekali gus menjadi satu kebanggaan untuk Malaysia dalam memartabatkan pendidikan dan pembangunan keusahawanan di peringkat antarabangsa, seiring dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN2030) yang menekankan lahirnya lebih ramai usahawan berdaya saing serta berimpak tinggi.