3 Penunggang RXZ Maut Dalam Perjalanan ke Terengganu

Foto Kosmo

DUNGUN: Dua penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ yang dalam perjalanan menyertai Program RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Terengganu maut selepas terbabit dalam dua kemalangan berasingan di Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Bukit Besi dan Ajil Hulu Terengganu, semalam.

Dalam kejadian pertama di Kilometer 370, berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Bukit Besi, Hariz Fahmi Shaizuren Amin dari Taman Lestari Putra, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor maut di tempat kejadian.

Kejadian jam 12 tengah hari, mangsa dikatakan bersama beberapa rakan yang menunggang motosikal jenis sama dalam perjalanan ke arah Kuala Terengganu.

Sebaik tiba di tempat kejadian motosikal yang ditungganginya dipercayai bergesel dengan sebuah motosikal yang menyebabkan motosikal mangsa terbalik.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, selepas motosikal yang ditunggang terbalik, mangsa tercampak atas jalan.