
KUALA LUMPUR: Pokok Sena, Pendang dan Baling di Kedah kekal merekodkan tahap gelombang haba (Tahap Dua) setakat petang tadi manakala 18 lagi kawasan berada pada tahap berjaga-jaga (Tahap Satu).
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kawasan yang terbabit bagi Tahap Satu adalah Perlis dan enam di Kedah iaitu Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Kulim-Bandar Baharu.
Selain itu, Timur Laut dan Utara Pulau Pinang; Hulu Perak, Selama, Kinta, Kuala Kangsar dan Perak Tengah, Perak; Pasir Mas, Kelantan; Jerantut, Pahang dan Segamat, Johor.
Status Tahap Dua atau gelombang haba diisytiharkan apabila suhu maksimum berada dalam lingkungan 37 hingga 40 darjah Celsius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Sementara itu, status Tahap Satu pula merujuk kepada suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.