
KUALA LUMPUR: Sebanyak 34 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara diarah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) susulan ramai pelajarnya dijangkiti influenza.
Pengurusan Mara melaporkan setiap MRSM berkenaan mencatatkan jangkitan influenza melebihi 50 kes.
Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata susulan penularan yang berlaku itu, setakat ini seramai 2,724 pelajar MRSM di seluruh negara dikenal pasti terkena jangkitan virus berkenaan.
“Sejak penularan kes berlaku, pengurusan Mara sudah mengarahkan semua pengetua MRSM mengambil langkah segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa terjamin.
“Antara langkah yang dilaksanakan termasuk memberikan rawatan segera kepada pelajar yang mempunyai simptom influenza di klinik kesihatan atau hospital, mengasingkan pelajar yang sakit daripada yang sihat serta memastikan pemakaian pelitup muka,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, Mara juga mengarahkan pelajar dibekal dengan air masak yang mencukupi, menangguhkan sebarang aktiviti luar buat sementara waktu serta memastikan sekolah sentiasa berhubung rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan mematuhi segala nasihat yang diberikan.
“Keutamaan utama MARA ialah kebajikan dan keselamatan semua warga maktab. Justeru, semua langkah pencegahan sedang dilaksanakan secara berterusan bagi mengekang penularan jangkitan ini,” katanya