
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025, bagi mencegah dan menguruskan kes buli di institusi pendidikan serta institusi lain diluluskan di Dewan Rakyat selepas 27 Ahli Perlimen membahaskannya.
RUU itu juga untuk menyediakan peruntukan bagi penubuhan Tribunal Antibuli bagi meningkatkan kesedaran dan pencegahan terhadap gejala terbabit.
Kelulusan RUU itu diumumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau, selepas ia dibahaskan oleh 27 Ahli Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata penggubalan akta itu penting bagi memberikan keyakinan kepada kanak-kanak bahawa mereka mempunyai laluan bagi perlindungan dalam aspek undang-undang.
Beliau berkata, Tribunal Antibuli yang ditubuhkan di bawah RUU itu mempunyai kuasa luas dalam menetapkan sesuatu perintah atau ‘award’ termasuk dalam aspek membayar balik mangsa bagi perbelanjaan munasabah yang ditanggung akibat buli.