262 Aduan Berkaitan Haji dan Umrah, Kerugian RM4.2 Juta

Foto Zulkifli Hasan / Parlimen Malaysia

Sebanyak 204 aduan berkaitan penipuan umrah dengan anggaran kerugian RM3.6 juta direkodkan sejak 2024 hingga Mei lalu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.

Beliau berkata, dalam tempoh yang sama, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut menerima 58 aduan berkaitan penipuan pakej haji dengan anggaran kerugian lebih RM600,000.

Berdasarkan maklumat daripada Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah pula, beliau berkata sepanjang musim haji 1446 Hijrah atau tahun ini, sekurang-kurangnya 97 rakyat Malaysia ditahan dan diusir oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

“Manakala 34 individu didenda kerana cuba mengerjakan ibadah haji tanpa visa yang sah,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat.