2 Timbalan Menteri Angkat Sumpah Ahli Dewan Negara

Foto Fail / FMT

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua hari ini.

Dua timbalan menteri itu mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, hari ini.

Kali pertama mereka mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara ialah pada 10 Disember 2022.

Dalam ucapannya, Awang Bemee mengucapkan tahniah kepada kedua-dua senator atas pelantikan semula.

Beliau berkata pelantikan berkenaan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengikut peruntukan Perkara 45(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan berkuat kuasa bermula hari ini hingga 9 Disember 2028, selaras Perkara 45(3) dan 45(3A).