
PUTRAJAYA: Dua guru dalam satu kelas adalah antara pendekatan baru bakal dilaksanakan dalam Kurikulum Persekolahan 2027, yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara.
Kaedah pengajaran berpasukan atau ‘co-teaching’ itu adalah bagi menekankan keseimbangan di antara pencapaian akademik dan pembentukan karakter pelajar.
Inisiatif itu yang membabitkan mata pelajaran baru Alam dan Manusia:
Pembelajaran Bersepadu pada Tahap I dilihat sejajar dengan matlamat KPM untuk melahirkan generasi pelajar yang bukan saja cemerlang dari segi ilmu, tetapi juga memiliki jati diri kukuh, berdisiplin, beradab dan bernilai moral tinggi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata kaedah ‘co-teaching’ dilaksanakan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) menjadi lebih menarik serta berkesan kerana ia memberi ruang guru menjadi lebih kreatif dan interaktif dalam melaksanakan PdP.
Beliau berkata, pendekatan itu antara pembaharuan utama dalam pelaksanaan kurikulum baharu bagi pelaksanaan pembelajaran bersepadu, iaitu gabungan pelbagai disiplin ilmu yang diajar secara gabung jalin.
Katanya, bagi melaksanakan kaedah itu, guru dilatih dan didedahkan dengan teknik pengajaran yang sesuai dengan KPM melaksanakan uji rintis untuk kaedah ini kepada 130 guru dan menerima maklum balas positif terhadap pembaharuan dalam pendidikan negara.