
KUALA LUMPUR: Dua anak mangsa penunggang motosikal yang maut selepas dirempuh pemandu kereta dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan dadah diambil sebagai anak angkat di bawah Yayasan Pelajaran Mara.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia adalah satu komitmen jangka panjang bagi memastikan pendidikan mereka terus terbela.
Beliau berkata, bantuan elaun bulanan sebanyak RM120 seorang juga akan disalurkan di peringkat sekolah rendah dan ditingkatkan kepada RM150 apabila mereka memasuki sekolah menengah, disertai pemantauan berterusan sehingga mereka menamatkan persekolahan.
“Kepada adik Aqif dan Atif, teruslah kuat dan tabah. Belajarlah bersungguh-sungguh dan jadilah kebanggaan keluarga. Insya-Allah, Mara akan sentiasa bersama kalian dalam membina masa depan yang lebih baik.
“Tragedi ini bukan sahaja meragut nyawa seorang bapa, tetapi meninggalkan luka yang amat mendalam buat seluruh keluarga,” katanya.