17 Februari tarikh lihat anak bulan Ramadan

Foto Fail / NSTP

KUALA LUMPUR: Majlis Raja-Raja hari ini mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh awal Ramadan adalah berdasarkan rukyah dan hisab, umum Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini.

Tarikh melihat anak bulan Ramadan untuk menetapkan permulaan puasa bagi umat Islam di Malaysia tahun ini pula adalah pada petang Selasa, 17 Februari bersamaan dengan 29 Syaaban 1447 Hijrah.

Menurut kenyataan itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan tarikh permulaan puasa pada malam berkenaan melalui radio dan televisyen.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Ramadan ialah pada petang Selasa, 17 Februari 2026 Masihi bersamaan 29 Syaaban 1447 Hijrah,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut jawatankuasa berkenaan diperkenankan melihat anak bulan Ramadan di 29 lokasi di seluruh negara antaranya di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka.

Turut menjadi tempat cerapan anak bulan ialah Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan, serta Bukit Melawati, Kuala Selangor, Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.