
TAWAU: Mahkamah Tinggi Tawau memutuskan 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun bersalah membunuh pelajar Kolej Vokasional (KV) Lahad Datu, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol ketika membacakan keputusan itu berkata semua tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Mereka dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama kolej berkenaan pada jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu.
Mohamad Nazmie Aizzat atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ijat’ ditemui mati selepas disyaki dipukul beramai-ramai oleh 13 rakan di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian antara jam 9 malam pada 21 Mac sehingga jam 7.38 pagi pada 22 Mac, di kolej berkenaan.
Kejadian disyaki berpunca perselisihan faham berhubung isu kehilangan wang milik dua daripada 13 tertuduh.