
KUALA LUMPUR: Sebanyak 96 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menempatkan 12,135 mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, menurut Pusat Kawalan Operasi Pusat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operas) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Ghazali Abd Rahman berkata jumlah mangsa di empat negeri berkenaan menunjukkan trend peningkatan berdasarkan data hasil pemantauan pihaknya.
“Di Kelantan, trend meningkat daripada lima kepada 32 keluarga di sebuah PPS. Mangsa pula meningkat dari 18 kepada 137 orang.
“Di Terengganu, jumlah keluarga meningkat dari 247 kepada 248 yang menghuni di 15 PPS. Mangsa turut meningkat daripada 890 kepada 902 orang.
“Di Pahang, jumlah keluarga mendapatkan perlindungan di 78 PPS meningkat daripada 3,012 kepada 3,566. Mangsa juga bertambah daripada 9,237 kepada 10,740 orang.
“Di Johor, jumlah keluarga meningkat daripada 90 kepada 93 di tiga PPS membabitkan pertambahan mangsa daripada 347 kepada 356 orang,” katanya hari ini.
Sementara itu, 18 Stesen Air di Pahang, Terengganu, Kelanta dan Sarawak melepasi paras bahaya setakat jam 5 petang semalam.
Daripada jumlah itu, 13 Stesen Air yang melepasi tahap bahaya adalah di Pahang.
Stesen Air terbabit ialah di Sungai Kuantan, Sungai Tembeling dekat Kampung Merting, Empangan Chereh, Sungai Belat dekat Sri Damai, Sungai Kuantan dekat Kuantan By Pass, Sungai Soi dekat Jalan Pekan-Kuantan dan Jam Chegar Perah dekat Lipis.
Ia termasuk di Sungai Lepar dekat Jam Gelugor, Sungai Pahang dekat Waterfront, Sungai Luit dekat Kampung Subuh, Sungai Sungai Mentigga dekat Jam Chini, Sungai Keratong dekat Kampung Rekoh dan Sungai Pahang dekat Kuala Tembeling.
Di Sarawak, tiga stesen terletak di Long Teru dan Marudi dekat Miri serta Kampung Entingan dekat Samarahan.
Di Terengganu cuma membabitkan Stesen Air Sungai Besut dekat Jambatan Keruak dan Kelantan pula di Sungai Lebih dekat Kampung Tualang.