
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan desakan terbesar sepanjang menerajui parti itu apabila majoriti ketua bahagian tampil menolak kepimpinannya.
Menurut laporan Malaysia Dateline, seramai 120 ketua bahagian telah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) mendesak beliau berundur dan menyerahkan tampuk kepada timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Laporan Utusan Malaysia pula menyebut tindakan mengumpul tandatangan itu diakui sendiri Ketua Bahagian Bersatu Ampang, Mohd. Isa Mohd. Saidi yang menjelaskan ia dibuat kerana kebimbangan mengenai survival parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Semua SD itu dikatakan telah diserahkan kepada Muhyiddin minggu lalu sebagai isyarat jelas ketidakpuasan hati akar umbi.
Desakan tersebut turut terbawa ke pentas utama apabila Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu berlangsung di Shah Alam baru-baru ini.
Ketika Muhyiddin menyampaikan ucapan, suasana menjadi kecoh dengan laungan ‘undur Muhyiddin’ kedengaran daripada sebahagian perwakilan. Bagaimanapun, beliau tetap meneruskan ucapannya walaupun keadaan dewan tidak lagi tenang.