10,000 murid dapat sarapan percuma program Madani

Foto FB Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR: Program Sarapan Pagi Madani bakal diperluaskan ke lebih banyak sekolah rendah di ibu negara sebagai langkah memastikan setiap murid memulakan hari mereka dengan pemakanan sihat dan berkhasiat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, berkata inisiatif itu bermula di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permaisuri, Cheras, sebelum diteruskan ke 13 sekolah rendah lain, membabtkan lebih 10,000 murid keseluruhannya.

“Saya luluskan sedikit peruntukan tambahan dan meminta penganjur meluaskan program ini ke lebih banyak sekolah di Kuala Lumpur.

“Setiap ringgit yang dibelanjakan adalah pelaburan jangka panjang untuk kesihatan, kecerdasan dan produktiviti generasi akan datang. Inilah makna ihsan dalam roh Madani iaitu kita bersama-sama membina generasi sihat, cerdas dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan, pelbagai kajian mengenai malnutrisi kanak-kanak di Kuala Lumpur jelas membuktikan wujudnya masalah beban berganda.

Sebahagian murid mengalami kekurangan zat makanan, manakala yang lain pula terlebih kalori namun miskin khasiat, katanya.