Sweet Qismina, Fattah Amin Aktres, Aktor filem Popular

Foto Berita Harian

KUALA LUMPUR: Bintang filem Babah, Sweet Qismina diumum Aktres Filem Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37.

Sweet atau nama sebenar, Farhanna Qismina Supandi, 28, mengalahkan empat finalis iaitu Sophia Albarakbah, Nur Fazura, Emma Maembong dan Isyariana.

Ini kejayaan kedua Sweet di pentas ABPBH. Pada edisi ke-30 acara anugerah berprestij ini, iaitu pada 2017, Sweet yang mencipta nama menerusi drama bersiri Hikayat Putera Shazlan, diangkat Artis Baru Wanita Popular.

Pada 1 November lalu, Sweet yang juga isteri aktor, Adam Lee, merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-34.

Sweet turut mengharumkan negara apabila membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Asean International Film Festival & Awards (AIFFA) 2025, pada 15 November lalu.

Sementara itu, Bintang Paling Popular ABPBH 3.0, Fattah Amin merangkul trofi Aktor Filem Popular.

Bintang filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu melenyapkan harapan peminat Amir Ahnaf, Qi Razali, Syafiq Kyle dan Aedy Ashraf. Pada edisi ke-36, Aedy meraih trofi Aktor Filem Popular.

Ini kemenangan ketiga Fattah dalam kategori itu. Suami kepada penyanyi Amira Othman itu pernah menggenggam trofi sama pada edisi 32 dan 34.