Persidangan Hantu, Permainan Akhir Di Melaka

Foto FB JKKN Melaka

MELAKA: “Persidangan Hantu, Permainan Akhir” selama dua hari bermula semalam, adalah antara inisiatif berterusan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka bagi memperkukuh ekosistem seni persembahan di negeri ini.

Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias berkata pementasan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Persatuan Penggerak Anak Seni Melaka itu turut membuka ruang lebih luas kepada pelapis serta penggiat seni tempatan untuk terus aktif berkarya secara profesional.

“Naskhah yang dipentaskan di Panggung Seri, Kompleks JKKN Melaka ini bukan sahaja memfokuskan hiburan, malah turut mengangkat satira dan kritikan sosial yang relevan dengan realiti masyarakat hari ini.

“Pementasan ini platform menyatukan pelakon profesional dan amatur dalam satu produksi berkualiti, membuktikan barisan penggiat seni Melaka mempunyai potensi besar untuk menyerlah di peringkat nasional,” katanya.