Makhluk halus buruk dan menyeramkan: Zara Zya

Foto IG Zara Zya

KUALA LUMPUR: Zara Zya mendakwa berdepan gangguan mistik sejak lebih 10 tahun lalu, menyebabkan dia boleh melihat kelibat makhluk ghaib yang muncul di sekeliling.

Zara mendakwa apa yang dilalui memberi kesan besar dalam kehidupannya, selain menyifatkan perkara itu bukan sesuatu yang mudah untuk dikongsikan secara terbuka.

“Ini memang perkara yang agak sensitif. Kadang-kadang orang yang tidak melalui sendiri sukar untuk faham. Ada yang kata kita buat-buat, ada yang anggap kita cuma mahu perhatian. Tetapi bagi orang yang mengalaminya, dia akan tahu.

“Dia (makhluk ghaib) tahu kita tahu. Itu yang membuatkan rasa tidak selesa. Sebab itulah, saya takut untuk bercerita lebih-lebih. Ini bukan perkara baharu, sudah lebih 10 tahun,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan kandungan Ramadan Astro di Astro Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Zara berkongsi dia sering berdepan rasa takut disebabkan rupa makhluk berkenaan menyeramkan.

“Perasaan takut dan seram itu sebenarnya datang kerana rupanya yang buruk… Itu sahaja. Hakikatnya, dia juga makhluk Allah. Sepatutnya kita tidak takut kerana kedudukan manusia lebih mulia.

“Tetapi sampai satu tahap, saya mahu pergi kedai kegemaran pun tak boleh pergi lagi. Jadi, faham-fahamlah keadaannya.

“Sekarang, Alhamdulillah semakin baik, walaupun kadang-kadang masih ada dan kadang-kadang tiada. Apa yang saya kongsi sebelum ini berlaku di kawasan rumah. Benda itu juga memang sering menemani saya ketika memasak,” katanya.

Zara berkata, ada ketika fizikalnya turut terkesan disebabkan kehadiran makhluk ghaib itu.