FFM34: Filem Babah menang besar

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Filem Babah arahan Mohd Shah Faizul Ibrahim yang mengangkat kisah hubungan antara seorang bapa dan anak yang sarat dengan nilai kasih sayang dan pengorbanan berjaya menambat hati juri dan penonton dengan penceritaan yang jujur dan menyentuh perasaan.

Babah diumumkan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) selepas menewaskan empat calon hebat iaitu Blood Brothers: Bara Naga, Reversi, Takluk: Lahad Datu dan Soloz: Game of Life.

Kemenangan ini mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya, Kementerian Komunikasi dan Finas memperkenalkan insentif khas berupa Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta kepada pemenang kategori ini.

Menurut penerbit filem Babah, kemenangan ini adalah hasil kerja keras dan keikhlasan seluruh pasukan produksi.

“Saya percaya ini hasil keikhlasan bertungkus lumus untuk hasilkan yang terbaik. Setiap ahli pasukan memberi sepenuh jiwa dan tenaga, dan kemenangan ini adalah milik semua yang percaya pada Babah sejak hari pertama,” katanya.

Pengarah filem Babah, Shah Faizul diumumkan sebagai pemenang Pengarah Harapan Terbaik.

Babah juga menyapu bersih beberapa trofi lain iaitu Pelakon Lelaki Terbaik (Qi Razali), Pelakon Wanita Terbaik (Sweet Qismina), Cerita Asal Terbaik (Nadia Nadzri) dan Lakon Layar Terbaik (Wan Rafiq).