Wabak Penyakit Mula Landa Aceh

Foto Bernama

BANDA ACEH: SELEPAS kehilangan tempat tinggal, harta, malah ahli keluarga, mangsa musibah banjir di Aceh diancam wabak penyakit.

Ribuan kes penyakit berjangkit dikesan di kawasan bencana banjir dan tanah runtuh di tiga wilayah di Sumatera, terutama di provinsi Aceh.

Setiap hari lebih 500 orang pesakit terpaksa dimasukkan ke wad Hospital Cut Mutiar di Lhokseumawe, sejak tiga minggu lalu untuk rawatan rapi dan pemerhatian, manakala beribu-ribu pesakit diberikan rawatan di pusat penempatan sementara dan khemah-khemah perlindungan di lokasi yang terjejas banjir.

Pengarah Hospital Cut Mutiar, Dr Syarifah Rohaya ketika mendedahkan perkembangan itu berkata, wabak penyakit termasuk penyakit berjangkit dan penyakit dalaman, dikesan mula menular di lokasi bencana dan merebak dengan cepat.

Menurutnya, tiga penyakit utama dikesan menyerang penduduk terutama penghuni pusat penempatan sementara setakat ini ialah batuk, selesema dan cirit-birit selain beberapa penyakit ringan seperti demam dan sakit kerongkong.

Beliau berkata, penyebaran pelbagai penyakit itu berpunca daripada keadaan persekitaran yang kotor dan kesesakan penghuni di pusat penempatan sementara.

“Banjir bandang dan tanah runtuh di provinsi Aceh, kini memasuki episod baru apabila beribu-ribu kes penyakit termasuk penyakit berjangkit dikesan mula menular di lokasi bencana.

“Setiap hari pasukan kami (perubatan dan kesihatan) meninjau di kawasan-kawasan yang terdampak banjir termasuk di kawasan terpencil dengan membawa bersama peralatan dan ubat-ubatan.

“Tim kami terdiri daripada doktor dan pakar perubatan dalam pelbagai bidang termasuk kardiologi, mata, penyakit dalaman, paediatrik dan sakit puan. Mereka dibantu oleh tim sokongan termasuk jururawat,” katanya yang ditemui ketika menyantuni pesakit di pusat penempatan sementara Desa Geudumbak, Kecamatan Langkahan, Aceh Utara, semalam.

Foto AFP

Hospital Cut Mutiar adalah rumah sakit umum utama milik kerajaan Indonesia di kota Lhokseumawe, yang mempunyai kemudahan rawatan dan doktor pakar dalam pelbagai bidang perubatan utama.

Dr Syarifah Rohaya berkata, pasukan perubatan dan kesihatan dari Hospital Cut Mutiar terpaksa menempuh pelbagai kesulitan dan rintangan ketika mengunjungi kawasan terjejas banjir danntanah runtuh termasuk terpaksa menaiki rakit buluh untuk masuk ke kawasan terpencil berikutan kebanyakan jalan perhubungan telah terputus atau rosak teruk.

“Kami bertugas 24 jam, tujuh hari seminggu untuk memberikan rawatan kepada penduduk yang memerlukannya dan segera merujukkan pesakit ke wad hospital untuk pemerhatian rapi jika terdapt gejala penyakit yang serius,” katanya.

Beliau menasihat penduduk, terutama penghuni pusat penempatan sementara supaya sentiasa mengutamakan kebersihan dan segera mendapatkan rawatan awal sekiranya menghidap sebarang penyakit.