Usaha desak Trump bincang Sidang Khas PBB mengenai Gaza

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Pertemuan bersemuka dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas kerjasama strategik Malaysia-Amerika dalam bidang perdagangan, keselamatan dan kemanusiaan khususnya berhubung isu Gaza.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Malaysia akan memanfaatkan pertemuan dengan Trump yang mengesahkan kehadirannya pada Sidang Kemuncak Asean ke-47.

Menurutnya, dalam usaha memperjuangkan isu Gaza, Malaysia sudah berhubung dengan Mesir, Turki dan Arab Saudi bagi memperkukuh usaha membawa suara bersama melalui Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Saya sudah berhubung dengan rakan sejawat dari negara-negara itu untuk menyatakan pendirian Malaysia bersama negara Islam lain supaya mendesak satu Sidang Kemuncak Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan segera.

“Ia bagi mendapatkan mandat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berhubung penghantaran pasukan tentera pengaman antarabangsa ke Gaza. Ini kerana kita (Malaysia) tidak boleh menghantar tentera pengaman tanpa mandat daripada PBB.

“Namun, jika mandat itu diberi, Malaysia tidak akan menolak untuk mengambil bahagian. Sehingga kini, Malaysia masih mempunyai pasukan pengaman yang bertugas di Lebanon di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon (UNIFIL) serta pasukan Batalion Malaysia (MALBATT),” katanya.