
ISTANBUL: Sesudah Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani berikrar untuk menangkap Benjamin Netanyahu, pendakwa raya Istanbul pula mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel itu.
Waran tangkap Netanyahu dan 36 pegawai kanan negara itu dikeluarkan atas dakwaan melakukan jenayah genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan dalam perang berterusan di Gaza.
Antara individu yang dinamakan termasuk Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz; Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir dan Ketua Turus Tentera, Leftenan Jeneral Eyal Zamir.
Menurut kenyataan rasmi, Israel didakwa telah melakukan jenayah itu secara sistematik sejak Oktober 2023, termasuk serangan ke atas Hospital Baptist al-Ahli yang meragut 500 nyawa, pemusnahan peralatan perubatan pada 29 Februari 2024, serta sekatan terhadap bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Turki turut menyenaraikan pengeboman ke atas Hospital Persahabatan Turki-Palestin yang dibina di Gaza sebagai antara insiden yang menjadi asas siasatan.