
NORWAY: Tujuh rakyat Malaysia dan lima warga China diusir dari Norway kerana menawarkan pakej pelancongan aurora secara haram.
Mereka didakwa menawarkan khidmat pemandu pelancong secara haram untuk melihat ‘aurora borealis’ atau ‘northern lights’, tanpa permit kerja.
Semua individu terbabit ditahan dalam operasi di Lofoten, Ofoten, dan Troms. Mereka mengaku menjalankan pengangkutan penumpang berbayar dan tidak mempunyai dokumen sah.
Mereka kini dikenakan larangan memasuki Norway, Kesatuan Eropah (EU), dan kawasan Schengen selama dua tahun.
Kawasan Schengen ialah zon merangkumi 29 negara Eropah yang secara rasmi memansuhkan kawalan sempadan antara negara anggotanya.
Ia berfungsi sebagai satu bidang kuasa tunggal bagi perjalanan antarabangsa, dengan dasar visa bersama.
Menurut Ketua Seksyen Polis Daerah Nordland, Gudjon Gudjonsson, keuntungan haram daripada kegiatan itu boleh mencecah lebih 100,000 kroner (RM40,220) bagi satu perjalanan, dengan pakej merangkumi penginapan, kenderaan dan pemandu.