Trump mahu serang Cuba pula?

Foto Hiasan

WASHINGTON: Belum pun reda perang dengan Iran, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bercadang menumpukan kepada satu projek yang tidak dinyatakan untuk Cuba, sebuah negara pulau di Caribbean.

Menurut Trump, Amerika mahu menamatkan konflik di Iran dahulu sebelum beralih kepada hal berkaitan Cuba, dengan menyifatkan tindakan terhadap Cuba hanya ‘menanti masa yang sesuai’.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Negara Amerika, Marco Rubio, di majlis di Rumah Putih, kerana usaha yang dilakukan terhadap Cuba.

“Kami mahu menyelesaikan yang ini terlebih dahulu (Iran), tetapi ini hanyalah soal masa sebelum kamu dan ramai lagi akan kembali kepada Cuba,” kata Trump.

Cuba kini menghadapi sekatan tenaga yang dikenakan Amerika, menyaksikan stok bahan api merudum selepas penghantaran minyak dari Venezuela, pembekal utama minyak terhenti sejak awal Januari.

Keadaan itu memaksa syarikat penerbangan mengurangkan penerbangan dan mengukuhkan lagi krisis ekonomi berterusan di negara itu.