
WASHINGTON: Amerika Syarikat akan mengenakan tarif 100 peratus ke atas import dari China dan menghadkan eksport teknologi, lapor agensi akhbar Jerman, DPA.
Dalam hantaran di Truth Social, Presiden Donald Trump berkata, bermula 1 November 2025, bergantung kepada sebarang tindakan atau perubahan lanjut yang diambil oleh China, Amerika akan mengenakan tarif sebanyak 100 peratus ke atas China.
“Ia adalah selain daripada sebarang tarif yang sedang dikenakan ketika ini,” kata Trump dalam hantaran dengan merujuk kepada dasar perdagangan semasa Beijing sebagai justifikasi.
“Pada 1 November juga, kami akan mengenakan kawalan eksport ke atas semua perisian kritikal,” tambahnya.
Kelmarin, Presiden Amerika itu mempersoalkan di media sosial sama ada pertemuan yang dirancang dengan Presiden China, Xi Jinping, di Korea Selatan akan berlangsung seperti yang dijadualkan.
Kedua-dua pemimpin dijadualkan bertemu di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), yang akan bermula pada akhir Oktober.