Trump desak CEO Intel Kelahiran Malaysia Letak Jawatan Serta-Merta

Foto Sinar Harian

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam menggesa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Intel, Lip-Bu Tan, yang berasal dari Malaysia, supaya meletak jawatan serta-merta susulan dakwaan mempunyai konflik kepentingan membabitkan pelaburan di syarikat-syarikat China.

Dalam kenyataan di platform media sosial miliknya, Truth Social, Trump mendakwa Tan mempunyai hubungan kewangan yang ‘sangat bercanggah’ dengan syarikat yang dikaitkan dengan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China.

Menurut Reuters, Tan didakwa melabur sekurang-kurangnya AS$200 juta (RM896 juta) dalam ratusan syarikat pembuatan dan cip termaju di China, termasuk beberapa yang dikaitkan dengan tentera negara itu.

Kenyataan Trump dibuat sehari selepas Reuters mendedahkan Senator Republikan, Tom Cotton menghantar surat kepada pengerusi lembaga pengarah Intel bagi membangkitkan persoalan mengenai kaitan Tan dengan firma-firma China dan kes jenayah melibatkan bekas syarikatnya, Cadence Design.

“CEO Intel sangat bercanggah dan mesti meletak jawatan serta-merta. Tiada penyelesaian lain untuk masalah ini,” kata Trump menerusi catatan di platform media sosialnya, Truth Social.

Saham Intel ditutup susut tiga peratus pada Khamis selepas kenyataan Trump itu disiarkan.