
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memperingatkan bahawa tiada sebarang perjanjian damai akan dicapai selagi Iran terus berusaha memiliki senjata nuklear. Dalam temu bual bersama Fox Business, Trump berkata: “Mereka tidak boleh memiliki senjata nuklear. Jika mereka tidak berhenti, kita tidak akan membuat perjanjian.” Beliau turut mendakwa Iran telah “menerima serangan hebat” dalam konflik yang sedang berlangsung.
Trump turut mengeluarkan ancaman ketenteraan dengan mendakwa AS mampu memusnahkan setiap jambatan dan loji jana kuasa Iran dalam masa sejam, namun menyatakan pihaknya tidak mahu bertindak sedemikian. Beliau menegaskan Iran sedang bergerak untuk menguasai Asia Barat dan jika dibiarkan memiliki senjata nuklear, ia akan digunakan. Walau bagaimanapun, Trump mengakui: “Saya fikir mereka sangat mahu membuat perjanjian.”
Rundingan antara AS dan Iran telah diadakan di Islamabad, Pakistan hujung minggu lalu bagi menamatkan perang AS-Israel terhadap Iran yang bermula sejak 28 Februari, namun gagal mencapai kata sepakat. Pakistan bertindak sebagai pengantara gencatan senjata dua minggu yang masih berkuat kuasa, manakala usaha pusingan rundingan baharu masih diteruskan.
Dalam isu lain, Trump mengkritik NATO kerana tidak memberikan sebarang sokongan kepada AS dalam perang terhadap Iran, mempersoalkan keperluan membelanjakan berbilion dolar untuk pakatan itu. Beliau turut mendedahkan mempunyai hubungan “sangat baik” dengan Presiden China Xi Jinping, dan menyatakan Xi telah memaklumkan Beijing tidak akan membekalkan senjata kepada Iran — menafikan laporan-laporan media sebelum ini.
Sumber: Bernama-Anadolu