Thailand kuatkuasa perintah berkurung

Foto AFP

BANGKOK: Thailand menguatkuasakan perintah berkurung serta-merta di Wilayah Narathiwat, selatan Thailand, susulan siri insiden keganasan termasuk beberapa kejadian letupan.

Agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan rasmi di akaun media sosial Pasukan Petugas Narathiwat melaporkan tentera Thailand akan melaksanakan beberapa langkah bagi menjaga ketenteraman dan keselamatan awam.

Ini termasuk memperketatkan kawalan di pusat pemeriksaan sempadan di antara Thailand dan Malaysia serta menguatkuasakan perintah berkurung di Narathiwat dari 9 malam hingga 5 pagi.

Terdahulu pada Ahad, pihak tentera mengesahkan beberapa stesen minyak di wilayah sempadan selatan Thailand menjadi sasaran letupan dan serangan bakar pada lewat Sabtu malam, menyebabkan seorang pegawai polis cedera.

Lima stesen minyak di Narathiwat adalah antara lokasi yang menjadi sasaran serangan berkenaan.

Menurut laporan media Thailand, penyerang bertindak membakar kedai serbaneka di stesen minyak berkenaan dan meletupkan bom buatan sendiri pada pam bahan api, sehingga mencetuskan kebakaran besar di premis terbabit. – Bernama-Xinhua