
BANGKOK/PHNOM PENH: Pertempuran baru meletus awal pagi di Wilayah Surin dan Buriram, selepas tentera Thai menyerang sebuah kasino dan depot minyak di Kemboja yang didakwa digunakan sebagai pangkalan tentera.
Portal berita The Nation memetik kenyataan Tentera Kedua Thailand, aktiviti ketenteraan dikesan seawal jam 4.35 pagi Khamis waktu tempatan di beberapa lokasi strategik sepanjang sempadan, termasuk Chong Bok, Chong An Ma, Ta Kwai dan Ta Muean.
Pasukan itu menegaskan, kesiapsiagaan penuh untuk mempertahankan kedaulatan negara dan memastikan keselamatan penduduk di kawasan sempadan.
Dalam satu kemas kini di Facebook rasmi “Army Military Force”, satu serangan besar dilaporkan ke atas posisi Kemboja di kawasan Choep Koki, bertentangan Daerah Ban Kruat di Buri Ram.
Kemas kini itu menyatakan bahawa asap hitam tebal kelihatan dari kasino dan depot minyak di Choep Koki, yang kedua-duanya musnah dalam serangan dilancarkan tentera Thai.
“Letupan berterusan juga kedengaran lebih 10 kilometer jauhnya. Jet pejuang F-16 Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) melakukan serangan udara malam tadi, menjatuhkan bom berkuasa tinggi ke sasaran kasino di Choep Koki, Daerah Banteay Ampil, Oddar Meanchey, Kemboja,” demikian menurut The Nation.
Unit tentera darat Thai turut mengebom depot minyak di kawasan sama.
Serangan itu berdasarkan maklumat risikan bahawa kasino dan depot digunakan oleh tentera Kemboja sebagai tapak operasi ketenteraan, termasuk pelancaran dron bagi menyerang tentera Thai.
Ia juga didakwa sebagai tempat penyimpanan senjata berat, stesen pengisian bahan api untuk pelancar roket BM-21.
Tentera Kedua Thailand menegaskan, operasi berkenaan adalah untuk mencegah pelanggaran wilayah Thailand dan memastikan keselamatan orang awam di kawasan sempadan.
Pertempuran ini menandakan eskalasi terbaru dalam konflik sempadan Thailand-Kamboja yang telah berulang kali meletus sejak Julai 2025, dengan kedua-dua negara saling menuduh dalam mencetuskan keganasan. The Nation