Tembelang Trump serang Iran terbongkar

Foto Hiasan

ANKARA: Apakah sebenarnya tujuan Presiden Donald Trump menyerang Iran? Bukan mahukan perubahan pucuk pimpinan atau memusnahkan reaktor nuklear. Semuanya gara-gara mahukan minyak!

Tembelang itu didedahkan sendiri oleh Trump apabila dia berkata “lebih suka” untuk “mengambil minyak” di Iran dan mengisyaratkan bahawa Washington berkemungkinan mengambil alih Pulau Kharg, hab eksport minyak utama Iran.

Financial Times, dalam satu temubual, memetik Trump sebagai berkata, apa yang paling diinginkan beliau adalah untuk “mengambil minyak yang ada di Iran,” membandingkannya dengan pendekatan di Venezuela di mana Amerika berusaha mengawal sektor minyak “secara tidak terhad.”

Trump turut menyatakan kemungkinan operasi untuk mengambil Pulau Kharg, sambil menambah langkah itu “juga akan bermakna kita harus berada di sana untuk seketika.”

Trump mendakwa, beliau berpendapat pertahanan di pulau itu “tidak kuat” dan boleh diambil dengan mudah.

Kenyataan Trump itu dibuat ketika harga minyak terus meningkat lebih daripada 50 peratus dalam sebulan, dengan minyak mentah Brent melebihi AS$116 setong, susulan eskalasi konflik yang melibatkan Amerika, Israel dan Iran.

Beliau juga mendakwa Iran telah membenarkan 20 kapal tangki minyak berbendera Pakistan melalui Selat Hormuz sebagai isyarat kerjasama, selepas sebelumnya memberi laluan kepada 10 kapal.

Serangan dan ancaman terhadap infrastruktur tenaga di rantau ini, termasuk pangkalan udara Arab Saudi dan kemudahan Amerika, serta pelancaran peluru berpandu balistik oleh Houthi ke arah Israel telah memperhebat ketegangan di Asia Barat.