Tarif AS: Malaysia akan terus jadi pilihan pelabur

Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Dasar tarif pentadbiran Amerika Syarikat berikutan keputusan Mahkamah Agung negara itu dilihat tidak mengubah hala tuju dasar perlindungan yang diamalkan sebelum ini.

Ketidaktentuan perdagangan global sebaliknya dijangka terus mempengaruhi strategi perniagaan serta aliran pelaburan langsung asing (FDI) dunia.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata keputusan itu pada hakikatnya tidak menamatkan agenda perlindungan yang digerakkan oleh pentadbiran Donald Trump.

“Keputusan Mahkamah Agung Amerika tidak mengubah hakikat bahawa dasar perlindungan yang diamalkan pentadbiran Trump akan berterusan. Ini terbukti apabila Presiden Amerika itu sedang berusaha menggunakan peruntukan undang-undang lain bagi merealisasikan dasar pengenaan tarif import yang bertujuan mengurangkan defisit imbangan dagangan,” katanya.

Afzanizam berkata, komuniti perniagaan global dijangka meneruskan usaha mempelbagaikan pasaran bagi mengurangkan risiko yang timbul akibat dasar kerajaan Amerika tu.

Keadaan itu jelas menuntut Amerika menyesuaikan strategi agar setiap dasar yang diperkenalkan menepati keperluan perundangan negara itu.

“Ini membuka ruang untuk rundingan lanjut bagi mencapai keputusan menang-menang,” katanya.

Beliau yakin persekitaran ini membawa kelebihan tersendiri buat negara.

“Malaysia akan terus dilihat mendapat manfaat daripada situasi ini. Pendirian dan pendekatan kerajaan yang mesra perniagaan dan pelaburan, di samping suasana aman serta bakat sedia ada akan terus menjadi daya penarik. Usaha kerajaan meningkatkan rantaian nilai dalam sektor semikonduktor juga akan menambah lagi daya tarikan kepada pelabur asing,” katanya.